Thursday, October 20, 2022

| sedikit sebanyak

 bismillahirrahmanirrahim.

alhamdulillah thummalhamdulillah untuk setiap hari yang Allah rezekikan kami dengan ketenangan dan 'aafiyah. ibu belajar bertenang selalu dan sedar setiap kali rasa nak meletup tu, haaa nanti ada suara yang mengingatkan. biasanya suara sumayyah. power budak kecik ni. hehe. dia tak bagi ibu dia marah-marah atau stress.

inshaallah nak usahakan apa yang ada dalam to-accomplish list menuju hujung tahun 2022 dan awal tahun 2023. di samping berusaha sebaik mungkin untuk penuhi setiap follow up untuk sulaiman sama ada dengan doktor atau therapist. inshaallah sulaiman sangat bijak dan cerdik, mampu untuk improve dengan sebaiknya dalam first 6 years of life. :) golden years. begitu juga dengan sumayyah, the biggest supporter for her one and only big brother.

moga Allah permudahkan semua urusan jabbar, sentiasa mengusahakan kecukupan buat sulaiman dan sumayyah anak-anak yang manja, clingy dan cerdik. hehe. 

jom sambung buat kerja. Allahul Musta'an. moga Allah berkati selalu semuanya. amiiin.

Friday, October 14, 2022

| repost sajak lama

 Catatan: Sebelum, Selepas


i.
Sebelumnya - ada riak manis yang berpura-pura
dia cuba menghadap wajah dunia - kosong, nihil makna
(ah, biarkan dunia menangis!)
sambil itu dia cuba menyelak lampiran sejarah lama yang tiada warna
dicicipi kopi pahit, warna hitam sehitam masa lalu nan ngeri
- jalanan pulang nan panjang tidak bisa diperi,
lalu dia mampir pada satu ingatan
dan beberapa kali dia mendengus halus (tidak mengerti apa pun)
waktu usianya sembilan belas, dan terasa masih hitam putih dunia majazi
dia ingin memilih cinta;
pun di mana cahaya terpilih?

ii.
Sambil berjalan antara sebelum dan selepas
- dia mula menggaris senyum;
ada rona yang dia lihat, cerlang dari jauh
ada suara yang dia dengar, antara sayup terasa damai
ada haruman yang menyusup, terbibit harmoni
(ah, makin hampirkah aku? mana cahaya?)

iii.
Selepasnya - ada tawa riang menusuk kalbu
dia mengalih pandangannya - (dunia tidak jadi menangis?)
yang dahulunya tandus, kini kian subur (malar hijaunya bak musim semi)
yang dahulunya hingar, kini rapsodinya harmoni (tertukas segala sengketa)
yang dahulunya hitam putih, kini seindah pelangi (dia kian mengerti)
terdengar dia akan bisik pesan orang tua nan dicinta:
“maka pada azam yang belum berbentuk, bulatkanlah;
semangat yang bercampera, satukanlah
usaha yang begitu ilusi, zahirkanlah;
ruang yang kian kosong, penuhkanlah;
usia yang terus meninggalkan, manfaatkanlah.
dengan taat; tanpa berbelah bahagi pada Tuhan
dengan cinta; tiada sempadannya pada nusa dan watan”

iv.
Sekilas dia di akhir coret
dia melihat waktu itu; usianya sama
sembilan belas masih dia
pun jua dia perkasa, mampu berdiri sama tinggi;
walau tidak punya nama, apatah gelar yang menjadi tanda
dia cuma yakin, cinta itu telah dijumpainya
(cinta yang tidak terbeli seisi buana, cahaya menusuk serata dunia)
di balik catatan sebelum dan selepas.

v.
Pun jua dia tidak kan berpaling lagi
dia anak watan; semangatnya membara tekadnya saksama
mafhum baginya sejarah adalah darah yang melangir
pada lampir hikayat yang abadi
dan pastinya dia berdiri ampuh
- sebagai sang pembebat luka, penawar duka bangsa
pada cetusan episod yang pernah merengkuh nusanya
dan dia tidak akan melepaskan cahaya itu lagi - pasti!


Raden Qurratu’Aini Muhammad Mun’im
Skudai Johor
11/5/2011

Monday, August 15, 2022

| jambatan umur

 bismillahirrahmanirrahim


mashaallah tak sangka bertemu kembali dengan blog tempat mencatat rasa jiwa nan satu ini. terakhir singgah mencatat pada bulan ogos 2014. sembilan tahun adalah tempoh yang tidak singkat, begitu lama.

terimbau sekian banyaknya apa yang berlaku pada tahun-tahun yang berlalu sehingga ke saat ini. tahun 2022. sudah masuk tahun huijriah baru juga, 1444. 

manisnya menulis tak dibaca sesiapa. seolah mencurah apa yang perlu tetapi tidak semua. hanya yang perlu dan membawa manfaat sahaja.

dari tahun 2014 ke 2019, beberapa jiwa sahabat seangkatan di mu'tah telah menemui Allah 'Azza Wajalla. khusus kunukilkan di sini kerana sinonimnya catatan di sini dengan mu'tah, maka aku teringat.

tidak sekali dua kelibat sahabat-sahabat itu singgah dalam mimpi di malam hari, ianya begitu hiba tetapi menenangkan. kadangkala ada air mata tumpah tak terseka sangat terjaga. dalam kelibat berpakaian putih, dalam kelibat kepahlawanan memanah sambil menunggang kuda. masahaallah. moga syurgalah tempat kekal di alam sana. 

begitu juga dengan pengajian sarjana muda yang telah aku sudahi sejak 2017 lagi, kemudian disambung dengan ijazah sanad quran versi mu'tah-amman. ditemani seorang sahabat yang sangat baik, sama-sama ambil ijazah, sama-sama bfg lewat sikit ke malaysia. 

dilanjut dengan menyambung sarjana. yang masih diusahakan sekarang. moga 2022 dapat menjadi tahun manis menyiapkan disertasi bertulangkan ruas merah gelap tanda disertasi siap. dapat konvo tahun 2023 dengan rasa aman dan tenang bersama yang tersayang, amiiin.

2019 menjadi tahun yang manis mula belajar hidup bersama yang tersayang belahan hati. dia yang begitu sabar dan tenang. terlalu banyak jasa dan pengorbanannya hingga tak terhitung. menjadi tempat berkasih setelah berdikari daripada abah dan mama. moga Allah ganjari syurga buat abang, abah, mama, mak, ayah. 

kukira jambatan umur mengesankan jiwa dengan caranya tersendiri. mengingat semula seorang aku yang tak sama dengan yang dahulu, semoga dengan itu semakin kuatlah seorang aku semakin bijaksana (wise) seorang aku. ditemani keluarga kecilku, belahan-belahan hatiku. 

sekian banyaknya jiwa yang menyentuhku, sekian itu juga tak terhitung doa yang senyap sepi dititip buat diri ini, maka moga sang pengirim doa semuanya diredhai Allah sentiasa.

aku di sini kerana adanya jiwa-jiwa yang Allah kirimkan berbuat baik kepadaku selalu. dengannya aku percaya hidup itu bermakna dengan perkara-perkara baik yang mengiringi kehidupan. hingga ke akhirnya. ke alam sana.

terima kasih ya Allah.